Sejauhmanakah faktor ancaman komunis telah mempengaruhi pembentukan Malaysia pada tahun 1963?

on Rabu, 4 Januari 2012


Pendahuluan 

Konsep Persekutuan Tanah Melayu pada mulanya dicadangkan oleh Lord Brassey, iaitu Pengarah Syarikat Borneo Utara British pada tahun 1887 yang merangkumi penyatuan Tanah Melayu, Singapura dan Borneo. Pada tahun 1947 Sir Malcom MacDonald, Pesuruhjaya Tinggi British Asia Tenggara mencadangkan idea yang sama. Konsep negara berbentuk persekutuan semakin menarik perhatian apabila Tunku mencadangkan penubuhan Malaysia dalam Perhimpunan Agong UMNO 25 Disember 1955. Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Tunku sekali lagi mencadangkan penubuhan Malaysia, iaitu pada 27 Mei 1961. Cadangan ini telah disambut baik oleh kerajaan British kerana salah satu tujuan penubuhan Gagasan Malaysia adalah untuk mengekang ancaman pengaruh komunis. Namun begitu terdapat juga sebab-sebab lain yang membawa kepada pembentukan gagasan ini.

Isi penting



Faktor-faktor Pembentukan Gagasan Malaysia


1. Mengekang pengaruh komunis


Perkembangan politik di Singapura.

 Ancaman komunis merupakan masalah serius kepada negara. Masalah yang sama turut berlaku di Singapura. Pengaruh komunis meluas di Singapura pada tahun-tahun 1950-an. Fahaman komunis telah merebak ke sekolah-sekolah Cina dan kesatuan-kesatuan sekerja. Fahaman komunis telah menyerap masuk ke dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah pada masa itu. Keadaan ini memberi tekanan politik yang kuat ke atas Lee Kuan Yew. Tunku bimbang sekiranya pengaruh komunis di Singapura tidak dibendung kemungkinan besar fahaman komunis akan merebak ke Tanah Melayu. Kejayaan golongan komunis menguasai sebahagian ahli PAP telah membawa kepada penubuhan Parti Sosialis yang dipimpin oleh Lim Chin Siong. PAP akhirnya mengalami perpecahan sehingga mengalami kekalahan kepada Parti Sosialis dalam pilihan raya 1961 di kawasan Hong Lim dan Anson. Keadaan ini menguatkan alasan Singapura untuk menyertai Gagasan Malaysia.

Lee Kuan Yew cuba menghapuskan golongan kiri dalam PAP dengan menyingkirkan golongan tersebut dari PAP, namun pengaruh golongan kiri semakin berkembang. Keadaan ini membimbangkan Tunku Abdul Rahman kemungkinan fahaman komunis akan merebak ke Tanah Melayu. Ketidakmampuan Lee Kuan Yew membendung pengaruh komunis bukan sahaja membimbangkan Tunku tetapi juga membimbangkan Britain dan Amerika Syarikat. Oleh itu, kedua-dua negara itu menyokong gagasan Malaysia yang dikemukakan oleh Tunku.

Perkembangan politik di Sarawak.

Pengaruh komunis turut berkembang di Sarawak sejak zaman pendudukan Jepun lagi. Pihak komunis telah menubuhkan Liga Belia Demokratik Cina Seberang Laut pada tahun 1947. Namun, pertubuhan itu diharamkan setahun kemudian apabila darurat diisytiharkan. Bagi menggantikannya sebuah pertubuhan sulit ditubuhkan iaitu Persatuan Belia Maju Sarawak (SAYA). Pertubuhan ini telah menghasut orang-orang Cina terutamanya dalam kalangan pelajar dan petani. Kesatuan sekerja dan sekolah-sekolah Cina di luar bandar telah digunakan untuk menentang Inggeris. Antara propaganda yang dimainkan oleh pihak komunis ialah sistem pendidikan Inggeris dikatakan mengancam pendidikan Cina.

Pengaruh komunis semakin kuat apabila mereka berjaya menembusi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP). Kerajan British telah melancarkan “operasi pisang” bagi membanteras komunis dalam SUPP tetapi gagal. Semua ini telah mendorong kepada pergabungan dalam Malaysia. Selain itu, pihak British bimbang dengan ancaman komunis dari Indonesia. Parti Komunis Indonesia (PKI) telah merebak ke wilayahwilayah Borneo dan ini telah mengancam kepentingan dan kedudukan British di Sarawak. Kebimbangan semakin memuncak apabila pengaruh PKI mula merebak ke Brunei.


faktor lain:


Mempercepatkan proses kemerdekaan

Penubuhan Malaysia telah mendorong mempercepatkan proses kemerdekaan Sabah, Sarawak dan Singapura. Ini disebabkan negeri-negeri tersebut berada dalam satu sistem pentadbiran yang sama, iaitu British. Malahan negeri-negeri ini mempunyai hubungan politik dan ekonomi dengan Tanah Melayu semasa pentadbiran British. Oleh itu, Tanah Melayu, Singapura dan negeri-negeri Borneo akan mendapat faedah keseluruhnnya semasa pemerintahan British. Jika Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura memperoleh kemerdekaan secara berasingan sebelum tahun 1963, Tunku berpendapat negeri-negeri tersebut belum bersedia dari segi politik dan sebagainya.

Pada masa itu Sabah dan Sarawak mempunyai Majlis Eksekutif dan legislatif yang bagaimanapun, tiada perbezaan ketara antara pentadbiran negeri itu dengan negeri yang wujud di tanah jajahan British yang berjiran dengannya. Di Sarawak pilihan raya kerajaan tempatan telah diadakan pada tahun 1959 dan 1963, manakala di Borneo Utara pilihanraya pertama Lembaga Bandaran dan Majlis Daerah diadakan pada Disember 1962. Di Brunei pula pilihanraya Majlis Penasihat Negeri diadakan pada Ogos 1962.

Kerajaan British telah mencadangkan pemerintahan sendiri bagi wilayah-wilayah Borneo atau bercantum dengan Tanah Melayu. Tunku berpendapat melalui percantuman dengan Tanah Melayu rancangan komunis akan dapat digagalkan dan kemerdekaan negeri-negeri Borneo dapat dipercepatkan. Kerajaan British telah berjanji untuk memberi kemerdekaan dalam tempoh yang terdekat sekiranya Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura bersedia menyertai Persekutuan Malaysia

Keseimbangan Kaum

Kemasukan negeri-negeri Borneo dalam Malaysia juga untuk mewujudkan keseimbangan komposisi kaum. Tunku sedar bahawa kemasukan Singapura akan menimbulkan keadaan tidak seimbang dari segi pecahan kaum di Malaysia. Ini disebabkan lebih 75% penduduk Singapura adalah kaum Cina, sedangkan di Tanah Melayu, orang Melayu hanya 49% dan selebihnya orang Cina dan India. Keadaan ini akan menggugat kedudukan orang Melayu dalam jangka panjang. Orang Melayu berkemungkinan akan hilang kedudukan istimewa dan hak mereka akan dicabar oleh kaum Cina. Tunku berpendapat adalah perlu Sabah, Sarawak dan Brunei dimasukkan ke dalam penubuhan Malaysia.

Kerjasama Ekonomi antara wilayah

Sebelum penubuhan Malaysia kemajuan ekonomi antara Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura adalah tidak seimbang. Tanah Melayu, Singapura dan Brunei lebih berkembang pesat akibat ramai pelabur Eropah telah melabur di negeri-negeri berkenaan sedangkan ekonomi di Sabah dan Sarawak masih mundur. Contohnya hasil ekspot bijih timah dan getah telah menyumbang sumber pendapatan terbesar Tanah Melayu. Singapura telah berkembang pesat dalam kegiatan perdagangan. Brunei pula kaya dengan hasil minyak. Oleh itu, penubuhan Persekutuan Malaysia dijangka akan mewujudkan kerjasama dan kesimbangan ekonomi yang menguntungkan kepada negeri-negeri berkenaan.

Kesimpulan 

Kesimpulannya, pembentukan Gagasan Malaysia telah dapat menyekat perkembangan pengaruh komunis di Tanah Melayu, Singapura , Sabah dan Sarawak. Selain itu, pembentukan Gagasan Malaysia juga mempercepatkan kemerdekaan Sabah dan Sarawak. Di samping itu, penubuhan Malaysia dapat membantu perkembangan ekonomi di Sabah dan Sarawak. Namun begitu pembentukan Malaysia turut memberi kesan kepada hubungan serantau di Asia Tenggara terutamanya daripada Indonesia dan Filipina. Singapura kemudiannya telah menarik diri dan keluar daripada Gagasan pada tahun 1965.


{ 4 komen Kat Sini !... read them below or add one }

Love Letter berkata...

Tq. artikel ni membantu assgment sy. tp syg xde nota kaki. guna rujukan ape ni?


13 Disember 2012 pada 12:35 PG
Tanpa Nama berkata...

nice one! banyak membantu! terima kasih! :)


26 Januari 2013 pada 4:24 PTG
Tanpa Nama berkata...

good~ it helps me


20 Oktober 2014 pada 8:13 PTG
Unknown berkata...

terima kasih sangat kerana nota ini sangat bermakna kepada saya untuk membuat assignment heee


28 Jun 2019 pada 1:24 PG

Catat Ulasan

Assalamualaikum
Dah baca mehlah komen sekali...

SATU pun jadilah...hehehe

 
© Line Clear Bah ! | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO