Pendudukan Jepun di Indonesia dan Myanmar antara tahun 1941 hingga 1945 telah menyemarakkan lagi pergerakan nasionalisme di negara-negara tersebut.

on Isnin, 2 Januari 2012


Pengenalan

Pada bulan Februari 1942, Jepun telah menyerang dan menawan Sumatera. Pada Mac, 1942, Jepun menawan Pulau Jawa dan seluruh Indonesia. Pendudukan Jepun di Indonesia telah tamat pada Ogos 1945 dan telah mempengaruhi perkembangan nasionalisme di Indonesis pada abad ke-20. Jepun telah menyerang Burma pada Disember 1941. Menjelang Mei, 1942, Jepun berjaya menakluki seluruh Myanmar. Pendudukan Jepun di Myanmar berakhir pada Ogos 1945. Pendudukan Jepun telah memberi kesan penting terhadap Perkembangan nasionalisme Myanmar dan telah mempercepatkan pencapaian kemerdekaan Myanmar.

Isi penting

Kesan pendudukan Jepun di Indonesia

Kemerosotan maruah Belanda

a. Pendudukan Jepun telah mengakibatkan kemerosotan maruah Belanda dalam kalangan rakyat Indonesia. Kemenangan Jepun telah membuktikan Belanda boleh dikalahkan dan telah menyemarakkan sentimen anti-Belanda dalam kalangan penduduk Indonesia.

Pengalaman dalam bidang pentadbiran

a. Selepas menakluki Indonesia, Jepun menghadapi masalah kekurangan pegawai untuk mentadbir Indonesia. Justeru itu, Jepun bertindak melantik golongan terpelajar Indonesia untuk memegang jawatan dalam bidang pentadbiran dan teknikal di Indonesia.
b. Tindakan Jepun ini telah mengukuhkan lagi keyakinan diri dalam kalangan golongan terpelajar Indonesia bahawa mereka mampu untuk mentadbir tanahair sendiri.

Penggunaan Bahasa Indonesia

a. Bagi menghapuskan pengaruh Barat di Indonesia, Jepun telah mengharamkan penggunaan bahasa Belanda dan Inggeris. Penggunaan bahasa Jepun digalakkan. Memandangkan bahasa Jepun tidak diketahui oleh kebanyakan orang Indonesia penggunaan bahasa Indonesia sebagai bahasa kebangsaan telah dipergiatkan lagi.
b. Penggunaan bahasa Indonesia telah memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan nasionalis Indonesia.

Penubuhan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA)

a. Jepun telah memberi kebebasan politik kepada para nasionalis Indonesia. Ini adalah kerana Jepun ingin mendapatkan sokongan mereka untuk mengeksploitasikan penduduk dan sumber Indonesia bagi kepentingan Jepun.
b. Justeru itu, Jepun telah bertindak membebaskan semua pemimpin nasionalis Indonesia yang dipenjarakan oleh Belanda seperti Soekarno, Dr. Mud. Hatta, Sutan Sjahrir dan lain-lain dari penjara pada tahun 1942.
c. Dengan sokongan Jepun, Soekarno dan Dr. Muhamad Hatta telah menubuhkan PUTERA pada 9 Mac 1943. PUTERA dipengerusikan oleh Soekarno.
d. Penubuhan PUTERA telah menambahkan kesedaran politik dalam kalangan penduduk Indonesia dan mengukuhkan keazaman mereka untuk mencapai kemerdekaan.
e. Soekarno dan Dr. Muhamad Hatta telah diberi kebebasan untuk berpidato dan bergerak di seluruh Indonesia.

Penubuhan Tentera Pembela Tanah Air (PETA)

a. PETA telah ditubuhkan pada Sept. 1943 dan berada di bawah naungan PUTERA.
b. PETA dipimpin oleh pegawai-pegawai Indonesia dan menerima latihan ketenteraan dari pihak Jepun. Tujuan penubuhan PETA adalah untuk mempertahankan Indonesia daripada serangan kuasa Berikat.
c. Pada pertengahan tahun 1945, bilangan ahli PETA ialah 120,000 orang.
d. PETA merupakan tulang belakang tentera nasionalis Indonesia yang menentang kemasukan semula Belanda ke Indonesia selepas jepun menyerah kalah pada Ogos 1945.
e. Semangat anti-penjajahan dan anti-Jepun telah berkembang dalam kalangan tentera PETA akibat propaganda Soekarno dan pemimpin nasionalis Indonesia yang lain.

Penubuhan Persatuan Belia dan Pelajar

a. Jepun juga bertindak menubuhkan beberapa pertubuhan belia dan pelajar seperti Seinandan (1942), Garkutotai, Barisan Pelopor dan Angkatan Muda (1944).
b. Golongan belia dan pelajar dalam pertubuhan-pertubuhan tersebut telah diberi pendedahan politik dan latihan tentera.
c. Pada Oktober 1944, jepun telah menubuhkan sebuah sekolah iaitu Asrama Indonesia Merdeka di Jakarta.
d. Pemimpin-pemimpin nasionalis Indonesia seperti Dr. Muhamad Hatta dan Sutan Sjahrir telah memberi ceramah-ceramah di sekolah tersebut. Ceramah-ceramah ini telah membangkitkan semangat kebangsaan dalam kalangan pelajar dan belia.

Penubuhan Masjumi

a. Pihak Jepun telah membantu menubuhkan Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masjumi) pada Oktober 1943.
b. Jepun ingin menggunakan Masjumi untuk mendapatkan sokongan rakyat Indonesia dan menyebarkan semangat anti-Belanda dalam kalangan mereka melalui agama Islam.
c. Masjumi merupakan gabungan persatuan-persatuan agama seperti Muhammadiyah dan Nahdatul Ulama.
d. Penubuhan Masjumi telah membantu mengembangkan semangat kebangsaan dalam kalangan rakyat Indonesia.

Idea kemerdekaan

a. Pada 7 Sept. 1944, Perdana Menteri Jepun, Koiso telah berjanji untuk memberi kemerdekaan kepada Indonesia.
b. Pada Ogos 1945, satu Jawatankuasa Persediaan Kemerdekaan Indonesia telah ditubuhkan. Pengerusinya ialah Soekarno dan naib pengerusinya ialah Dr. Muhamad Hatta.
c. Perkembangan ini telah mengukuhkan keazaman para nasionalis Indonesia untuk mencapai kemerdekaan.
d. Dalam persidangan meja bulat di Haque, Belanda bersetuju memberi kemerdekaan kepada Indonesia pada 27 Dis.1949.

Kesan Pendudukan Jepun di Myanmar 

Pakatan dengan Jepun

a. Pada tahun 1941, Aung San telah mengadalan pakatan dengan Jepun. Melalui pakatan ini, golongan Thakin berjanji akan membantu Jepun menakluki Myanmar daripada Inggeris dan Jepun berjanji untuk memberi kemerdekaan kepada Myanmar
b. Pakatan ini membolehkan golongan Thakin menjalani latihan ketenteraan di Jepun. Golongan Thakin menubuhkan Tentera Kemerdekaan Myanmar dengan bantuan Jepun. Menjelang tahun 1941, Tentera Kemerdekaan Myanmar mempunyai 30,000 orang anggota

Membantu Jepun menyerang Myanmar

a. Pada Disember 1941, Jepun menyerang Myanmar dengan bantuan Tentera Kemerdekaan Myanmar .
b. Pada Mei 1942, Jepun berjaya menakluki seluruh Myanmar
c. Kejayaan ini menyebabkan pengaruh golongan Thakin semakin meningkat dan dianggap sebagai pembela bangsa dan negara Myanmar dalam kalangan rakyat tempatan.
d. Kemenangan Jepun dan kekalahan British telah melenyapkan tanggapan rakyat Myanmar bahawa British adalah satu kuasa agung yang tidak dapat dikalahkan. Kekalahan British ini telah menambahkan keazaman golongan Thakin untuk mencapai kemerdekaan

Pengalaman dalam bidang pentadbiran

a. Atas usaha golongan Thakin, Jepun telah memberi kemerdekaan kepada Myanmar pada 1 Ogos 1943. Sebuah kerajaan baru telah dibentuk dengan Dr. Ba Maw sebagai Perdana Menteri
b. Kerajaan Ba Maw telah dipengaruhi golongan Thakin yang memegang banyak jawatan menteri kabinet
c. Pengalaman berkerajaan sendiri semasa pendudukan Jepun telah mengukuhkan keyakinan diri golongan Thakin untuk menuntut kemerdekaan Myanmar dari British selepas pengunduran Jepun.

Penubuhan Liga Pembebasan Rakyat Anti Fasis (LPRAF)

a. Jepun tidak memberi kemerdekaan dalam erti kata sebenar kepada Myanmar. Kuasa sebenar pentadbiran Myanmar masih terletak di tangan Jepun
b. Kekejaman pentadbiran Jepun dan kemerosotan taraf hidup rakyat Myanmar semasa pendudukan Jepun telah mewujudkan sentimen anti-Jepun dalam kalangan rakyat Myanmar
c. Pada tahun 1944, golongan Thakin bersama-sama pertubuhan nasionalis Myanmar yang lain telah menubuhkan LPRAF bagi menentang Jepun. LPRAF dipimpin oleh Aung San dan Than Tun.
d. Pada Mac 1945, LPRAF telah menyebelahi British apabila ia secara terbuka menentang Jepun.
e. Pada Ogos 1945, Jepun telah menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua. LPRAF di bawah pimpinan golongan Thakin telah muncul sebagai pertubuhan nasionalis yang utama di Myanmar

Kemerdekaan Myanmar 1948

a. Pada Jan. 1947, Thakin Aung San telah mengetuai rombongan ke London untuk membincangkan kemerdekaan Myanmar
b. Kerajaan British bersetuju untuk mengadakan pilihan raya pada April 1947 dan memberi kemerdekaan kepada Myanmar
c. Dalam pilihan raya tersebut, LPRAF telah memenangi 171 kerusi daripada 182 kerusi yang dipertandingkan Pada 19 Julai 1947, Aung San dan 6 rakannya dalam kabinet telah dibunuh oleh orang-orang upahan U Saw
e. Namun, satu perlembagaan telah digubal bagi Myanmar. Lantaran itu, Myanmar memcapai kemerdekaan sepenuhnya pada 4 Januari 1948. Perdana Menteri pertamanya ialah Thakin U Nu.

Kesimpulan 

Pendudukan Jepun telah memperkukuhkan gerakan nasionalisme Indonesia dan mempercepat proses pencapaian kemerdekaan Indonesia dan Myanmar selepas Perang Dunia Kedua. Indonesia mencapai kemerdekaan pada Disember 1949 dengan Soekarno dilantik sebagai Presiden Republik Indonesia. Manakala, Myanmar mencapai kemerdekaan pada 4 Januri 1948 dengan U Nu sebagai Perdana Menteri yang pertama.



{ 3 komen Kat Sini !... read them below or add one }

KouPlezTwInZ berkata...

thanx,, kerna bnyk menbantu..


1 Oktober 2013 pada 4:40 PG

Catat Ulasan

Assalamualaikum
Dah baca mehlah komen sekali...

SATU pun jadilah...hehehe

 
© Line Clear Bah ! | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO